Apabila disebut tentang perancangan harta, perkataan pertama yang sering terlintas di fikiran ialah “wasiat”. Namun, terdapat satu salah faham yang sangat besar dalam masyarakat mengenai fungsi wasiat dalam Islam. Ramai yang menyangka wasiat adalah dokumen untuk membahagikan harta sesuka hati kepada anak-anak, sekaligus mengenepikan hukum Faraid. Ini adalah tanggapan yang salah.
Dalam konteks perwarisan Islam di Malaysia, wasiat bukanlah alat untuk mengubah pembahagian Faraid di kalangan waris yang sah. Pembahagian akhir harta pusaka kepada waris-waris (seperti isteri, anak-anak, ibu bapa) tetap wajib mengikut hukum Faraid. Jadi, apakah fungsi sebenar wasiat? Wasiat adalah satu “manual arahan” yang anda tinggalkan untuk melancarkan proses pentadbiran harta selepas kematian anda. Tanpa manual ini, waris akan terkapai-kapai dan mudah terjerumus ke dalam kancah perbalahan.
Berikut adalah empat fungsi utama dan terpenting sesebuah wasiat :
- Melantik Wasi (Pentadbir): Ini adalah fungsi wasiat yang paling kritikal. Melalui wasiat, anda boleh menamakan seorang individu atau agensi yang anda percayai untuk menjadi pentadbir (wasi) harta anda. Wasi inilah yang akan bertanggungjawab mengumpul semua aset, membayar segala hutang, dan mengagihkan harta kepada waris mengikut Faraid. Pelantikan ini dapat mengelakkan perbalahan besar di kalangan waris tentang siapa yang paling layak untuk memikul tugas sebagai pentadbir.
- Melantik Penjaga Anak Bawah Umur: Bagi pasangan yang mempunyai anak-anak yang masih kecil (di bawah 18 tahun), wasiat adalah tempat untuk menamakan penjaga yang dipercayai sekiranya kedua-dua ibu dan bapa meninggal dunia serentak. Ini memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak terjamin di tangan orang yang anda pilih.
- Menyelesaikan Hutang dan Tanggungjawab Agama: Wasiat membolehkan anda memberi arahan yang jelas kepada wasi untuk melunaskan segala hutang-piutang anda, sama ada hutang dengan bank atau hutang peribadi. Anda juga boleh mengarahkan agar tanggungjawab agama seperti zakat yang belum dibayar, fidyah puasa, kaffarah, atau upah haji diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta dibahagikan.
- Pemberian Sehingga 1/3 kepada Bukan Waris: Islam membenarkan anda untuk mewasiatkan sehingga satu pertiga (1/3) daripada harta anda kepada sesiapa sahaja yang bukan waris Faraid. Ini adalah saluran untuk anda berbakti kepada anak angkat, menyumbang kepada badan kebajikan, masjid, atau membantu rakan-rakan yang memerlukan.
Secara ringkasnya, wasiat tidak melawan Faraid, tetapi ia memudahkan pelaksanaan Faraid. Ia adalah alat pentadbiran yang memastikan proses pengurusan pusaka berjalan dengan teratur, cepat, dan aman, selari dengan hasrat anda dan kehendak syarak.

