MENGHAYATI NURANI DI SEBALIK DOKTRIN STARE DECISIS
Di Malaysia, sistem keadilan merupakan tiang seri yang menyokong kepercayaan rakyat. Kita telah menyaksikan pelbagai cabaran yang menguji ketahanan institusi negara terutamanya pada ketika Pandemik Covid 19. Dalam menyelesaikan pergolakan mahkamah juga sebenarnya melihat kepada satu prinsip yang dipanggil Doktrin Stare Decisis (prinsip mengikut duluan mahkamah) yang kekal menjadi pelindung kepada kestabilan hidup kita. Artikel ini bertujuan mengajak kita merenung bahawa undang-undang bukan sekadar barisan ayat di atas kertas, tetapi ia adalah instrumen yang sarat dengan nilai tanggungjawab, kasih sayang, dan integriti rohani.
Kepastian Hukum: Sebuah Bentuk Tanggungjawab Masyarakat
Secara ringkasnya, Stare Decisis bermaksud mahkamah yang lebih rendah harus mengikut keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi dalam kes yang serupa. Mengapa ini penting bagi rakyat marhaen?
Apabila undang-undang bersifat kekal dan tidak berubah-ubah sesuka hati, ia memberikan rasa selamat kepada masyarakat. Inilah manifestasi sifat bertanggungjawab pihak kehakiman. Sebagai contoh, dalam isu hak milik tanah, kepastian hukum memastikan setiap pemilik rumah atau tanah merasa tenang bahawa hak mereka tidak akan dirampas secara tiba-tiba akibat perubahan tafsiran undang-undang yang mengejut. Konsistensi ini adalah tanda “hormat” dan “peduli” sistem keadilan terhadap keamanan hidup rakyat.
Keberanian Membetulkan Khilaf demi Kemanusiaan
Walau bagaimanapun, keadilan yang sejati tidak boleh bersifat kaku sehingga menutup pintu kepada kebenaran. Di sinilah letaknya nilai integriti intelektual dan belas kasihan. Sejarah perundangan kita pernah digemparkan dengan isu Seksyen 340 Kanun Tanah Negara.
Sebelum ini, melalui keputusan kes Adorna Properties Sdn Bhd v Boonsom Boonyanit [2001] 1 MLJ 241, seorang pemilik tanah yang sah boleh kehilangan hartanya jika pihak lain dapat membuktikan dokumen hakmilik adalah atas nama lain. Di mana ketika itu, mahkamah menggunakan prinsip Immediate Indefeasibility (Hak milik tidak boleh disangkal serta-merta).
Keputusan tersebut dirasakan sangat tidak adil dan melukai prinsip kemanusiaan apabila seorang pemilik tanah yang sah boleh kehilangan hartanya dengan mudah jika berlaku pemalsuan dokumen oleh pihak lain. Namun, sistem kita menunjukkan “jiwanya” apabila Mahkamah Persekutuan melalui kes Tan Ying Hong v Tan Sze Hou & Ors [2010] 2 MLJ 1 berani mengakui kekhilafan tersebut dan memperbetulkannya dan mengubah konsep tersebut kepada Deferred Indefeasibility (Hak milik tidak boleh disangkal tertangguh). Tindakan menyimpang daripada keputusan yang salah bukanlah satu kelemahan, sebaliknya ia adalah satu bentuk keberanian rohani. Para hakim sedar bahawa mereka memikul amanah yang besar—bukan sahaja kepada sistem perundangan, tetapi tanggungjawab moral untuk memastikan mangsa penipuan tidak terus dizalimi.
Penutup: Undang-undang yang Mempunyai Hati
Kesimpulannya, Doktrin Stare Decisis adalah batu asas yang menjamin ketertiban, namun ia tidak sekali-kali membelenggu mahkamah daripada menegakkan keadilan yang lebih murni. Gabungan antara ketaatan kepada prinsip dan keberanian untuk melakukan pembaikan (islah) adalah kunci kepada sistem kehakiman yang disegani.
Bagi setiap rakyat Malaysia, kefahaman mengenai doktrin ini seharusnya memberi kita harapan. Ia membuktikan bahawa di sebalik jubah hitam dan dewan mahkamah yang sunyi, wujud nurani yang sentiasa berusaha menyeimbangkan antara kestabilan negara dengan hak asasi individu. Semoga dengan semangat integriti dan kasih sayang terhadap kebenaran, sistem perundangan kita akan terus menjadi tempat berteduh yang adil bagi semua insan tanpa mengira darjat.

