PANDUAN LANGKAH DEMI LANGKAH:
Memandangkan majoriti kes pusaka di Malaysia jatuh di bawah kategori Harta Pusaka Kecil (nilai di bawah RM6 juta), adalah sangat penting untuk para waris memahami proses tuntutannya. Proses ini sengaja direka bentuk agar mudah diuruskan sendiri oleh waris tanpa memerlukan khidmat peguam. Berikut adalah panduan langkah-demi-langkah yang boleh anda ikuti:
Siapa yang Boleh Memohon?
Permohonan boleh dibuat oleh mana-mana waris si mati (seperti balu, anak, ibu bapa), pemiutang, pembeli harta si mati, atau pihak berkepentingan lain seperti Baitulmal.
Langkah 1: Kumpul Dokumen-dokumen Penting
Sebelum memulakan apa-apa, pastikan anda telah mengumpulkan semua dokumen yang diperlukan. Ini akan melancarkan proses permohonan anda. Dokumen asas yang diperlukan termasuk:
- Borang A (Borang Permohonan/Petisyen) yang boleh didapati dari laman web JKPTG atau Pejabat Tanah.
- Salinan Sijil Kematian si mati.
- Salinan Kad Pengenalan pemohon dan semua waris yang lain.
- Salinan dokumen bukti perhubungan (cth: sijil nikah untuk pasangan, sijil kelahiran untuk anak-anak).
- Salinan dokumen hak milik harta (cth: geran tanah/rumah, geran kenderaan, penyata akaun bank, penyata ASB/Tabung Haji).
- Bagi hartanah anda juga diminta untuk membuat carian rasmi tanah terkini bersama bukti cukai tanah dan taksiran yang terkini.
Langkah 2: Isi dan Hantar Borang A
Isi Borang A dengan lengkap dan sertakan semua salinan dokumen sokongan. Hantar borang tersebut ke Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di daerah di mana harta tak alih (tanah/rumah) si mati terletak. Jika si mati mempunyai tanah di beberapa daerah, anda boleh memilih salah satu daerah untuk memfailkan permohonan.
Langkah 3: Tunggu Notis Perbicaraan
Selepas permohonan anda diproses, pihak Unit Pusaka akan mengeluarkan Notis Perbicaraan (Borang D) kepada anda dan semua waris yang disenaraikan. Notis ini akan menyatakan tarikh, masa, dan tempat perbicaraan akan diadakan.
Langkah 4: Hadir Sesi Perbicaraan
Pemohon dan semua waris wajib hadir pada tarikh perbicaraan. Bawa bersama semua dokumen asal untuk pengesahan.
- Jika Waris Tidak Dapat Hadir: Waris yang tidak dapat hadir perlu mengisi dan menandatangani Surat Akuan Persetujuan (Borang DDA) di hadapan Pesuruhjaya Sumpah atau Pentadbir Tanah. Borang ini menyatakan persetujuan mereka terhadap pembahagian yang akan diputuskan.
- Semasa Perbicaraan: Pegawai Pusaka akan mendapatkan pengesahan senarai aset, senarai waris, dan menentukan bahagian setiap waris mengikut hukum Faraid. Pada peringkat ini, waris juga diberi peluang untuk mencapai persetujuan sebulat suara untuk membahagikan harta secara muafakat (takharuj), yang berbeza daripada pembahagian Faraid.
Langkah 5: Terima dan Daftar Perintah Pembahagian
Selepas perbicaraan selesai, Unit Pusaka akan mengeluarkan Perintah Pembahagian (Borang E). Anda perlu menyemak butiran dalam perintah tersebut untuk memastikan tiada kesilapan. Langkah terakhir ialah membawa perintah ini ke agensi-agensi berkaitan untuk proses pindah milik:
- Bawa Perintah Pembahagian dan geran tanah asal ke Pejabat Tanah untuk mendaftarkan nama waris pada geran baru.
- Bawa Perintah Pembahagian ke bank, ASNB, atau KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan si mati.
Secara purata, proses tuntutan kes biasa yang tidak rumit mengambil masa minimum sekitar 5 hingga 2 tahun bergantung kepada kerumitan kes anda. Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda boleh menguruskan tuntutan harta pusaka keluarga anda dengan lebih yakin dan teratur.

