HIERARKI KEADILAN DARIPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT

Dalam tempoh yang penuh mencabar, Malaysia telah melalui pelbagai fasa transformasi sosial dan perundangan. Institusi kehakiman muncul sebagai tunjang kestabilan yang memastikan hak setiap warganegara terpelihara. Mahkamah bukan sekadar sebuah birokrasi, tetapi merupakan manifestasi kepada nilai tanggungjawab dan amanah dalam memelihara kesejahteraan ummah. Struktur yang tersusun rapi ini memastikan keadilan dapat dicapai oleh semua, bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah ke puncak tertinggi.

Keadilan Akar Umbi: Tribunal dan Mahkamah Tuntutan Kecil

Bagi rakyat marhaen, keadilan sering kali bermula di peringkat yang paling mudah dicapai. Kita dapat melihat kewujudan Mahkamah Tuntutan Kecil (di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret) adalah bukti bahawa sistem kita mempunyai sifat kasihan terhadap mereka yang tidak mampu melantik peguam. Untuk tuntutan bawah RM5,000, rakyat boleh mewakili diri sendiri. Ini memberikan keberanian kepada individu untuk menuntut hak yang dizalimi. 

Selain itu, ada juga kewujudan tribunal-tribunal yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen bagi menyelesaikan pertikaian dalam bidang tertentu tanpa melalui proses mahkamah sivil yang kompleks dan mahal terutamanya pasca-pandemik seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Tribunal Perumahan (TPPS) dalam membantu pengguna dan pemilik hartanah berkaitan penipuan pembelian dalam talian dan isu kelewatan penyerahan milikan kosong (rumah) pada tempoh yang telah ditetapkan. Di sini, motif utamanya adalah kepantasan dan kos yang rendah.

Pintu – Pintu Mahkamah : Mahkamah Rendah yang Berjiwa Rakyat

Struktur ini bermula dengan Mahkamah Majistret, yang sering dianggap sebagai nadi keadilan masyarakat marhaen. Mengendalikan kes sivil bawah RM100,000 dan jenayah ringan, mahkamah ini adalah tempat di mana elemen kemanusiaan paling kerap terlihat. Mahkamah majistret mengendalikan ratusan kes pelanggaran SOP dengan penuh timbang rasa—menimbang antara tuntutan undang-undang dan realiti kesempitan hidup rakyat. Di sini, nilai kasihan dan budi bicara seorang Majistret menjadi ubat kepada luka sosial.

Seterusnya, Mahkamah Sesyen memikul tanggungjawab yang lebih berat, mengendalikan kes sivil sehingga RM1 juta dan jenayah yang lebih serius (kecuali hukuman mati). Sejak kebelakangan ini, kita melihat mahkamah Sesyen banyak membongkar kes-kes penyelewengan dana misi kemanusiaan dan penipuan komersial yang melibatkan kerugian jutaan ringgit. Objektifnya jelas: melindungi harta dan hak rakyat daripada dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mahkamah Atas: Benteng Integriti dan Perlembagaan

Apabila kes mendaki ke peringkat Mahkamah Tinggi, fungsinya beralih menjadi pelindung mutlak hak asasi dan Perlembagaan. Dengan bidang kuasa tanpa had, ia bertindak sebagai penyelia kepada mahkamah di bawahnya.
Puncak keadilan kemudiannya diperkukuhkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Rayuan berfungsi sebagai mekanisme “semak dan imbang” bagi membetulkan sebarang khilaf manusiawi yang mungkin berlaku di peringkat awal. Manakala Mahkamah Persekutuan, sebagai autoriti tertinggi, menetapkan hala tuju undang-undang negara. Keputusan berani dalam kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan integriti pemimpin negara menunjukkan bahawa di puncak hierarki ini, sifat amanah kepada Tuhan dan rakyat mengatasi segalanya.

Roh Keadilan: Ethics dan Kemanusiaan

Keadilan di Malaysia tidak bersifat mekanikal. Ia didorong oleh unsur rohani dan etika. Setiap hakim memulakan tugas dengan sumpah setia, satu manifestasi rasa sayang kepada negara. Tanpa nilai kemanusiaan seperti empati terhadap mangsa dan ketegasan terhadap penzalim, undang-undang hanyalah barisan perkataan yang mati. Hierarki ini memastikan setiap rayuan didengar dengan teliti, mencerminkan sistem keadilan kita terhadap nyawa dan maruah manusia.

Penutup

Secara keseluruhannya, hierarki mahkamah di Malaysia direka dengan objektif yang jelas: memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal dalam mencari keadilan. Daripada tuntutan kecil di kaunter mahkamah sehinggalah kepada perbicaraan besar di Mahkamah Persekutuan, elemen empati, kebertanggungjawaban, dan keadilan sesama manusia menjadi benang merah yang menyatukan sistem ini. Keadilan yang sebenar adalah apabila rakyat merasa selamat di bawah naungan undang-undang yang telus dan berjiwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *