Apa Sebenarnya Hibah? Hadiah Istimewa Semasa Anda Masih Hidup
Ramai antara kita sering berfikir tentang bagaimana hendak meninggalkan harta kepada orang tersayang selepas kita tiada nanti. Selalunya, yang terlintas di fikiran adalah wasiat atau Faraid. Namun, ada satu cara yang sangat istimewa dan berkuasa dalam perundangan Islam yang membolehkan anda memberi “hadiah” semasa anda masih hidup lagi dengan rukun-rukun dan cara Islam yang betul. Inilah yang dinamakan Hibah.
Secara mudahnya, hibah ialah satu akad atau perjanjian di mana anda secara sukarela memberikan hak milik harta anda kepada seseorang tanpa mengharapkan sebarang balasan. Perkataan kunci di sini ialah berkuat kuasa semasa anda masih hidup. Ini bermakna, sebaik sahaja proses hibah itu sempurna, harta tersebut secara rasminya menjadi milik penerima, walaupun anda mungkin masih menggunakannya.
Amalan memberi hibah ini sangat digalakkan dalam Islam kerana ia mampu memupuk rasa kasih sayang. Seperti yang disebut dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: “Kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mengasihi”((Hadis Riwayat Al-Baihaqi, At-Tabarani dan Al-Bukhari). Jadi, hibah bukan sekadar satu transaksi perundangan, tetapi satu amalan murni untuk mengeratkan hubungan.
Walaupun konsepnya seperti hadiah, hibah pada zaman moden telah berkembang menjadi satu instrumen perancangan harta yang sangat sistematik. Kewujudan pelbagai agensi dan syarikat amanah menunjukkan bahawa hibah kini adalah satu cara yang canggih untuk mengagihkan aset-aset besar seperti rumah, tanah, dan saham sebelum meninggal dunia. Ini bertujuan untuk memastikan hasrat anda untuk memberi kepada orang tertentu tercapai dan, yang lebih penting, untuk mengelakkan pertikaian keluarga di kemudian hari.
Oleh itu, kita perlu mengubah cara kita melihat hibah. Ia bukan lagi sekadar soal memberi hadiah hari jadi, tetapi satu strategi bijak untuk menjawab soalan-soalan penting seperti, “Bagaimana saya nak pastikan rumah ini menjadi milik isteri saya sepenuhnya?” atau “Bagaimana saya boleh jamin kebajikan anak angkat saya selepas saya tiada nanti?”.
Secara ringkasnya, hibah mempunyai beberapa ciri utama yang perlu difahami :
- Ia adalah satu akad (perjanjian): Mesti ada lafaz pemberian dan penerimaan yang jelas.
- Harta itu milik anda: Anda tidak boleh menghibahkan sesuatu yang bukan milik sah anda.
- Ia percuma: Pemberian ini dibuat tanpa sebarang balasan atau bayaran daripada penerima.
- Berkuat kuasa serta-merta: Pindah milik berlaku semasa anda masih hidup, bukan selepas meninggal dunia.
- Dibuat secara sukarela: Tiada unsur paksaan daripada mana-mana pihak.
Memahami asas ini adalah langkah pertama untuk anda menguasai salah satu alat perancangan harta yang paling fleksibel dan berkesan dalam Islam.

